Nur Awatif binti Osman
LAPORAN HARI SUKAN MAKTAB RENDAH SAINS MARA BALIK PULAU.
Pada tanggal 2 hingga 4 Mac yang lalu, Maktab Rendah Sains Mara Balik Pulau telah mengadakan Kejohanan Hari Sukan peringkat sekolah pada jam 8 pagi. Cuaca yang baik untuk pelajar melakukan senaman bagi persediaan sebelum bermulanya sukan. Tujuan hari sukan seperti ini diadakan adalah untuk menyemai semangat kesukanan dalam diri pelajar. Hal ini demikian kerana semua murid yang mengambil bahagian akan bersungguh-sungguh untuk memenangi setiap bahagian yang diambil. Berikut merupakan laporan hari sukan yang saya sediakan.
Sebelum hari sukan berlangsung, banyak persediaan yang telah dilakukan sebelum hari sukan menjelang tiba. Terdapat lima rumah sukan yang akan bertanding iaitu Belantara, Kejora, Suria, Purnama dan Samudera. Setiap rumah sukan akan membahagikan tugas masing-masing bagi persediaan menghias khemah. Selain itu, setiap petang semua pelajar wajib berkumpul di padang bagi sesi latihan yang dijalankan oleh para guru rumah sukan masing-masing. Terdapat beberapa acara yang dipertandingkan iaitu acara 100 meter, 200 meter, 400 meter dan 800 meter. Manakala bagi acara padang ialah lempar cakera,rejam lembing, dan lontar peluru.
Pada tanggal 2 Mac 2020, acara sukantara telah tiba. Semua pelajar wajib menyertai sukantara bagi mengumpul mata setiap rumah sukan masing-masing. Sukantara adalah satu acara sukan di mana setiap pelajar diberi peluang untuk menyumbang mata bagi rumah sukan masing-masing. Sukantara juga biasanya diadakan sebelum Hari Sukan Tahunan. Antara acara yang dipertandingkan adalah larian 100 meter, lompat jauh, dan lontar peluru.
Pada keesokan harinya, tanggal 3 Mac telah berlangsung hari pertama Sukan Tahunan bagi sesi 2020. Keadaan cuaca pada pagi itu sangat baik. Pada pukul 8 pagi, para pelajar diarahkan berkumpul di bawah khemah rumah sukan masing-masing. Peserta yang terlibat perlu bersiap sedia sebelum bertanding. Acara yang dipertandingkan pada waktu pagi iaitu acara lontar peluru, lempar cakera, rejam lembing, 100 meter, 200 meter dan 800 meter. Seterusnya, acara 4 kali 400 meter menjadi acara kemuncak sukan pada hari itu. Semua ahli rumah sukan yang tidak terlibat bersorak dengan sepnuh hati bagi menyemarakan suasana pada pagi itu. Pada sebelah petang, acara diteruskan dengan acara lompat jauh. Setelah tamat acara tersebut, semua ahli rumah sukan perlu bersiap sedia bagi persiapan menghias khemah dan perbarisan untuk hari esok.
Pada tanggal 4 Mac, telah berlangsungnya hari kemuncak sukan bagi sesi 2020. Seprti biasa, para pelajar diminta berkumpul di khemah rumah sukan masing-masing. Acara yang dipertandingkan adalah acara 400 meter dan 4 kali 100 meter. Selepas tamat, semua guru dan pelajar diminta berkumpul di tengah padang bagi sesi penutupan Hari Sukan Tahunan bagi tahun 2020. Majlis dimulakan dengan perbarisan setiap rumah sukan dan diakhiri dengan ucapan daripada Encik Ismail Bin Kassim iaitu YDP Muafakat MRSM Balik Pulau bagi perasmian penutupan Hari Sukan Tahunan bagi sesi 2020. Tempat pertama disandang oleh rumah sukan Kejora. Seterusnya, tempat kedua disandang oleh rumah sukan Belantara. Manakala, tempat ketiga dimenangi oleh rumah sukan Purnama diikuti dengan rumah sukan Samudera dan Suria.
Setelah berakhirnya Hari Sukan Tahunan bagi sesi 2020, para pelajar diminta untuk mengemas khemah rumah sukan masing-masing. Sesi penggambaran diadakan supaya dapat dijadikan sebagai kenang-kenangan. Saya berasa gembira dan teruja dapat bersama-sama menyertai acara sukan pada tahun ini. Saya berharap agar Hari Sukan Tahunan dapat diteruskan lagi pada tahun hadapan. Akhir sekali, dapatlah disimpulkan bahawa sukan di negara kita telah berkembang pesat bagi memberi penekanan kepada perubahan minda dan sikap kea rah membentuk generasi belia yang dinamik dan mempunyai prestasi yang cemerlang bagi program kurikulum di sekolah. Pelajar dapat membina jati diri serta mengharumkan nama sekolah dengan menyertai sukan yang dipertandingkan. Oleh itu strategi Kementerian Belia dan Sukan Malaysia perlu meningkatkan pencapaian sukan kea rah kecemerlangan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Laporan disediakan oleh, 31 Mac 2020
(NUR AWATIF BINTI OSMAN)
Pelajar MRSM Balik Pulau.
Comments
Post a Comment